Resume dah cantik dah ni, bakal majikan pon dah tertarik dan panggil kita untuk bekerja dengan mereka. Tapi, sebelum bekerja dengan mereka, anda perlu lalui satu proses ni dulu. Proses apa tu? Semestinya proses temuduga! Dalam proses temuduga ni, tujuannya adalah sebagai langkah perkenalan awal diantara bakal majikan dan juga anda. Mereka ingin melihat personaliti dan karakter anda samada adakah anda calon yang paling sesuai untuk jawatan tersebut. Jangan risau, temuduga adalah proses yang normal dan merupakan perkara yang penting untuk dilakukan sebelum pemilihan staf untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut. Ramai orang tewas dalam peringkat temuduga ni, sebab apa? Sebab mereka tak tahu teknik yang betul dalam menjawab soalan temuduga. Nak tahu apa rahsia untuk buat bakal majikan tertarik untuk menerima anda? Baca selanjutnya!

  1. Beri salam dan senyum sebelum ditemuduga

Temuduga adalah proses yang formal tetapi janganlah anda terlalu serius sepanjang sesi tersebut kerana ini membuatkan anda kelihatan kaku. Ya, memang betul anda pasti akan rasa ‘nervous’ semasa temuduga, tambahan pula jika ini merupakan kali pertama anda ditemuduga. Kawal perasaan nervous itu dengan senyum dan bertegur sapa juga dengan calon yang lain. Ini akan membuatkan anda kurang nervous sementara menunggu giliran anda.

Sebaik sahaja nama anda dipanggil ke bilik temuduga, pastikan anda menunjukkan akhlak yang baik dengan beri salam dan mengetuk pintu bilik tersebut. Apabila mereka sudah jawab dan izinkan anda masuk, masuk dengan tenang dan senyum. Sebelum duduk, minta izin dahulu kepada mereka untuk duduk. Ini akan membuatkan penemuduga nampak bahawa anda seorang yang sopan dan beretika.

2. Serahkan dokumen dengan sopan

Ini bergantung kepada syarikat dan jawatan yang dimohon itu. Ada sesetengah syarikat tidak perlukan anda untuk membawa dokumen, tetapi ini akan menampakkan anda seorang yang tidak bersedia (andai kata mereka ingin menyemak bukti hasil kerja anda). Sebagai langkah selamat, bawalah dokumen penting/sijil-sijil/portfolio kerja anda. Susun dengan rapi supaya senang untuk mereka membuat semakan dan penilaian.

Jika mereka minta untuk melihat dokumen tersebut, serahkan kepada mereka segera supaya tidak membuang masa mereka dalam menunggu. Sebab itulah bawa terus dan pegang fail yang ingin diberikan itu, jangan tinggal dalam kereta pula. Tapi, andai kata mereka tidak minta, anda serahkan dokumen tersebut kepada mereka dengan sopan-santun, jangan terus beri kepada mereka tanpa berkata apa-apa. Contoh, “Ini hasil kerja saya untuk semakan Tuan/Puan ya”, dan hulurkan kepada mereka.

3. Bersedia dengan soalan “Tell me about yourself

Ya, soalan ini nampak macam simple sahaja tapi percayalah ramai calon gagal menjawab soalan ini dengan baik dan memberikan jawapan bukan seperti apa yang ingin didengar. Ini merupakan soalan yang wajib dan soalan yang pertama sekali akan ditanya tidak kiralah anda mohon di syarikat mana dan jawatan apa sekalipun. Jangan ambil masa yang terlalu lama dalam menjawab soalan ini.

Antara jawapan yang perlu dielakkan adalah:

Nama saya Airina, tapi orang rumah panggil Manja. Boleh panggil saya Manja la sebab saya memang manja pon. Saya tak pernah bekerja dan nak cari kerja la sebab tu saya datang interview harini. Niat nak cuba je tapi dapat pulak harap-harap dapat masuk kerja terus lah....”

Nota: Jangan jawab macam ni ya, sangat santai dan tidak formal. Walaupun mungkin recruiter tu nampak santai saja, tapi kadang-kadang mereka hanya ingin lihat bagaimana kita respon dengan cara yang santai atau rilek mereka itu. Anda tak perlu beritahu kepada mereka yang anda berharap untuk dapat kerja ini walaupun ini merupakan pertama kali anda ditemuduga kerana itu akan menampakkan anda sangat terdesak dan ‘over confident’ sebab katakan kepada mereka untuk mula bekerja di situ secepat mungkin.

Oh nak kena cerita juga ke pasal diri? Saya rasa tak perlu kot bukan saya dah tulis semua dalam resume saya tu?..”

Nota: Ini akan memberikan persepsi yang anda seorang yang biadap kerana mempersoalka semula berkenaan dengan perkenalan diri memandangkan anda telah pun meletakkan info di resume. Info dalam resume hanyalah secara ringkas dan padat, sebab itulah mereka memanggil anda untuk tahu apa lagi kelebihan yang anda boleh berikan kepada syarikat tersebut.

Sebaliknya, apa yang sepatutnya anda jawab adalah;

Saya Airena, merupakan seorang pekerja part-time di retail company X dan ingin mengembangkan kemahiran dan menambah pengalaman dalam bidang marketing memandangkan saya memang amat meminati bidang ini sejak dahulu lagi. Saya mempunyai pengalaman selama 6 bulan di syarikat X ini sebagai Junior Promoter dan sepanjang tempoh tersebut, saya telah berjaya mendapat sales yang mengagumkan iaitu 4 angka setiap bulan dan mencapai target KPI seperti yang ditetapkan oleh syarikat X itu. Dengan kemahiran digital marketing yang saya miliki ini, saya pasti ini selari dengan objektif syarikat ini dalam jawatan ini..”

Nota: Ini contoh jawapan ringkas yang boleh diguna pakai. Jawapan anda tidak perlu terlalu panjang dan jangan pula terlalu pendek. Macam mana nak bagi tak terlalu panjang dan pendek itu? Gunakan teknik WAF ini. Apa WAF ni?

W- Who

Ceritakan secara ringkas pengenalan diri anda. Tak perlu panjang sebab mereka sudah tahu pon nama penuh anda dalam resume. Ceritakan juga apa yang anda minat dan apa yang membuatkan anda tertarik untuk memohon jawatan tersebut. Tak perlu ceritakan berkenaan dengan latar belakang diri anda melainkan mereka tanya sebab ada sesetengah ingin buat background research calon itu.

A- Achievement

Ceritakan kepada mereka pengalaman bekerja yang anda miliki yang relevan dengan jawatan yang ingin dimohon itu dan kongsikan kepada mereka pencapaian yang anda miliki. Bagi graduan yang tiada pengalaman bekerja, ceritakan kepada mereka program/aktiviti/projek yang anda lakukan semasa di Universiti.

F- Fit

Kongsikan kepada mereka mengapa anda layak untuk jawatan tersebut- hubungkan dengan kemahiran yang anda miliki itu.

4. Buat research syarikat tersebut

Anda ingin bekerja disitu, pastikan anda tahu selok-belok syarikat tersebut, sedikit pon jadi asalkan jangan tak tahu langsung apa bisnes yang syarikat tersebut buat dan program/aktiviti yang mereka telah jalankan. Anda tidak perlu tahu kesemuanya, tapi cukup sekadar anda faham apa bisnes yang dilakukan oleh syarikat tersebut. Tidaklah anda datang ke temuduga atas dasar menghadirkan diri semata-mata. Majikan akan fikir yang anda hanyalah main-main dan tak serius pon nak kerja. Mereka akan tolak markah awal lagi. Nak ke macam tu? Kalau anda tak nak, kena kenal dulu syarikat tersebut. Kan apa pepatah cakap, tak kenal maka tak cinta.

5. Tanya soalan yang relevan dan matang

Sebelum sesi temuduga tamat, mereka akan tanya kepada anda “Ada soalan?”. Jangan tinggalkan bilik tanpa bertanya apa-apa. Tujuan anda bertanya soalan adalah untuk menunjukkan bahawa anda betul-betul minat dengan jawatan ini dan bukan hanya sekadar mohon sahaja. Elakkan soalan peribadi dan tanya soalan yang berkaitan dengan kebaikan yang syarikat tersebut tawarkan kepada staf/berkenaan dengan jawatan anda dan sebagainya. Sebab itulah pentingnya buat research supaya anda tahu apa yang nak ditanya kepada mereka nanti.

6. Jawab soalan dengan tenang dan ucapkan terima kasih setelah selesai sesi

Kawal nervous anda. Pandang mata mereka semasa bercakap. Jika anda tidak jelas dengan soalan yang diberikan, boleh minta mereka untuk mengulangi soalan tersebut dan jawab dengan tenang. Setelah tamat sesi temuduga, ucapkan terima kasih kepada mereka kerana memberi peluang kepada anda untuk ditemuduga. Hargai masa yang mereka telah luangkan untuk anda sepanjang sesi tersebut. Tunjukkan penghargaan dan hormat kepada mereka.

Nak tahu tips kerjaya dengan lebih lanjut?

Join Telegram Bina Kerjaya Berjaya di https://web.telegram.org/k/

MASIH KELIRU NAK KERJA APA NANTI? NANTIKAN E-BOOK PANDUAN DARI TEAM EMPIRE KERJAYA KHAS UNTUK ANDA 9 OGOG INI!