Dalam permohonan kerja, hantar Resume atau Curriculum Vitae (CV) ini merupakan perkara yang perlu dilakukan dengan betul. Ini kerana, masih ramai lagi yang keliru dan tidak jelas dalam menghasilkan satu resume yang betul. Penulisan resume tidak perlu begitu ‘berbunga-bunga’, namun anda perlu mengetahui apa yang patut diletakkan dan yang tak patut diletakkan dalam resume. Ingat, resume adalah perkara sekali HR akan tengok sebelum ke proses pemilihan yang seterusnya iaitu sesi temuduga. Jadi, pastikan resume anda itu ada satu ‘daya tarikan’ yang boleh membuatkan HR tertarik untuk menghubungi anda ke sesi yang berikutnya. Apakah ciri-ciri resume yang perfect ini?

  1. Ada maklumat untuk dihubungi

Ini perkara yang paling penting sekali wajib ada dalam resume anda. Ya, sudah tentulah anda memohon satu pekerjaan itu dan ingin mereka hubungi anda. Jadi, pastikan segala maklumat untuk dihubungi itu adalah tepat supaya memudahkan lagi proses pemilihan calon. Jika terdapat kesalahan walaupun sedikit pada maklumat tersebut, maka terlepaslah peluang anda untuk dipanggil ke temuduga.

Rugi tu…siapa yang rugi?

2. Objektif

Setelah selesai di bahagian maklumat untuk dihubungi, objektif anda memohon pekerjaan itu juga diambil kira. Mengapa perlu ada objektif? Ini supaya bakal majikan akan nampak yang anda benar-benar serius untuk mendapatkan suatu pekerjaan dan jelas dengan apa yang ingin dicapai dalam kerjaya. Objektif kerjaya ini sesuai untuk pelajar yang sedang mencari tempat latihan industri, jawatan entry-level, calon yang tiada pengalaman kerja dan juga pekerja yang ingin menukar bidang pekerjaan.

3. Latarbelakang pendidikan

Latarbelakang pendidikan ini boleh jatuh di tempat yang ketiga mahupun yang keempat bergantung kepada status terkini pemohon. Andai kata pemohon adalah pelajar, maka perlu diletakkan pendidikan terlebih dahulu. Kronologi latarbelakang pendidikan adalah bermula dari yang terkini sehingga yang paling lama. Anda dinasihatkan untuk meletakkan pendidikan yang tertinggi dan kedua tertinggi sahaja. Tidak perlu senaraikan sehingga sekolah rendah. Contoh, anda ada kelulusan dalam Diploma dan juga Ijazah Sarjana Muda, maka cukup sekadar tulis dua itu sahaja. Bagaimana pula dengan pointer? Adakah pointer penting untuk diletakkan?

Soal pointer ini bergantung kepada iklan jawatan kosong itu, ada sesetengah iklan jawatan kosong mereka akan tetapkan terus pointer yang diinginkan untuk jawatan tertentu seperti 3.0 dan ke atas. Maka, jika di dalam iklan jawatan itu ada, anda juga perlu letakkannya dalam resume anda. Pastikan anda letakkan pointer yang betul sepertimana dalam transkrip anda, jangan pula dibundarkan pointer itu!

4. Pengalaman kerja

Jika anda sudah bekerja, anda perlu tuliskan pengalaman kerja anda sebelum ini apa yang anda lakukan dan apa yang anda telah capai. Jika anda merupakan seorang pelajar, sudah tentulah anda tiada pengalaman bekerja kecuali anda pernah bekerja Part-time dimana-mana syarikat. Kerja Part-time itu boleh juga dituliskan dalam resume anda. Tidak pernah bekerja langsung? Tuliskan pengalaman anda semasa di Universiti dahulu. Anda pernah sertai apa-apa program, itu juga merupakan satu pengalaman. Dalam bahagian pengalaman ini, tidak semestinya pengalaman kerja tapi juga pengalaman anda dalam menguruskan satu aktiviti.

5. Kemahiran

Jangan lupakan bahagian ini, ini juga merupakan salah satu bahagian yang terpenting. Anda ada berapa banyak kemahiran itu ditentukan oleh bagaimana anda ingin ‘nilai’ diri anda. Dalam masa yang sama, pastikan kemahiran yang diletakkan itu bersesuaian dengan jawatan yang ingin dimohon itu. Anda juga digalakkan untuk menilai sendiri tahap kemahiran yang anda miliki samada pada tahap permulaan, sederhana atau sudah mahir. Anda sendiri yang tentukan kerana anda pasti tahu dimanakah tahap kemahiran anda berada sekarang ini.

6. Pencapaian

Anda juga perlu letakkan bersama pencapaian yang anda pernah miliki sebelum ini. Banggalah dengan diri anda kerana sudah berjaya mendapat sesuatu yang luar biasa. Mungkin anda rasakan ia hanyalah biasa sahaja, tetapi bukan semua orang boleh dapatkan apa yang anda dapat itu. Syabas dan tahniah diucapkan!

7. Maklumat yang ringkas dalam satu muka surat

Resume yang paling bagus hanyalah dalam satu muka surat sahaja. Namun begitu, pastikan dalam satu muka surat ini ada semua elemen penting dalam resume anda. Dengan cara ini, anda sebenarnya sudah memudahkan kerja dan menjimatkan masa pihak HR.

Nak tips kerjaya lebih lanjut?

Jom join Telegram Bina Kerjaya Berjaya

https://t.me/binakerjayaberjaya