Memang tidak dinafikan, demi mendapatkan hasil yang memberangsangkan dalam kehidupan, seseorang itu perlulah bekerja keras dalam mencari rezeki. Dalam kata lain, kerja. Ada sebilangan orang yang agak sensitif apabila disebut soal kerja ini kerana mungkin pernah mengalami pengalaman pahit dalam bekerja. Ya, memang benar, kerja ini merupakan bukan satu perkara yang mudah tapi tidaklah mustahil untuk dilakukan. Ia memerlukan komitmen yang tinggi dan pengurusan masa yang baik. Hal ini kerana, apabila anda bekerja, anda perlu sedaya-upaya mencari cara yang terbaik untuk seimbangkan diantara kerja dan juga kehidupan seharian atau Bahasa Inggerisnya disebut sebagai ‘work-life balance’. Perkara ini penting bagi meningkatkan lagi produktiviti anda di tempat kerja dan juga di luar tempat kerja. Jika anda mempunyai tanda-tanda ini bermaksud anda sudah bersedia untuk bekerja.

  1. Ingin buat perubahan

Setiap orang mempunyai masalah yang berbeza dalam hidup mereka. Mustahil jika ada orang yang tiada apa-apa masalah langsung dalam hidup mereka. Akan tetapi, ini bergantung juga kepada bagaimana seseorang itu melihat masalah tersebut. Adakah mereka melihat masalah tersebut sebagai satu masalah yang teramat besar sehingga tiada solusi atau masalah ini ada solusinya dan boleh diselesaikan. Jika anda berada di kategori yang kedua, iaitu memandang satu masalah itu sebagai jalan solusi maka anda pasti ingin melakukan perubahan dalam hidup anda. Semestinya, perubahan yang dimaksudkan adalah perubahan yang baik. Tidak kiralah anda membuat perubahan dalam gaya hidup, kerjaya mahupun hubungan kekeluargaan sekalipun. Tindakan yang anda lakukan itu yang menunjukkan anda seorang yang bermotivasi dan semangat tinggi.

2. Boleh diharap, berdikari dan bersemangat

Kita selalu mendengar perkataan ‘proaktif’. Apa itu proaktif ini? Dalam istilah mudahnya anda sudah mula membuat suatu kerja atau tugasan itu tanpa disuruh atau diberi arahan. Anda sudah kaji dan membuatnya terlebih dahulu. Jika anda ada sikap seperti ini pasti majikan akan kagum dengan diri anda.

3. Suka teroka dan tambah kemahiran baru

Perlu sentiasa ingat, dalam apa jua yang kita lakukan, kita perlu beri yang sehabis baik dengan menambah lagi ilmu dan kemahiran yang kita ada. Paksa diri anda untuk belajar sesuatu yang baru setiap hari dimana perkara itu mestilah mendatangkan manfaat kepada diri anda. Apabila mula bekerja, anda akan berurusan dengan pelbagai latar belakang orang dan ragam. Jadi, anda perlu bersiap sedia dengan kemahiran ‘soft skill’ dan juga ‘hard skill’ dimana inilah perkara yang sangat diperlukan dalam pasaran kerja.

4. Terima teguran mahupun pendapat orang

Tidak mudah ‘melatah’ apabila seseorang memberikan pendapat dan pandangan mereka terhadap anda. Setiap orang mempunyai persepsi yang berbeza dalam satu perkara. Sekalipun anda dikritik, anda tetap terima dan cari jalan untuk memperbaikinya. Inilah tanda anda sudah boleh bekerja.

5. Malu yang bertempat

Malu itu perlu ada tapi janganlah sampai semua perkara jadi malu untuk dilakukan seperti malu untuk bercakap dengan orang, malu untuk berjumpa dengan orang dan macam-macam lagi. Ini yang disebut sebagai ‘malu tidak bertempat’ kerana malu yang seperti ini yang akan membuatkan anda tenggelam dalam kerugian dan peluang yang ada.

Ingin tahu tips kerjaya lebih lanjut?

Jom join Telegram Bina Kerjaya Berjaya

https://t.me/binakerjayaberjaya